SOAL JAWAB TENTANG POLIGAMI
Bolehkah tuan terangkan lebih lanjut apa yang dimaksudkan dengan poligami?
Istilah poligami ini membawa maksud lelaki beristeri lebih daripada seorang tetapi tidak lebih daripada empat orang isteri pada satu masa sebagaimana yang digariskan syarak.
Apa pula syarat yang perlu diteliti oleh individu sebelum mereka berpoligami?
Jika berdasarkan prinsip syarak, tiada garis panduan khas diberikan ke atas individu untuk berpoligami melainkan seorang suami itu perlu mampu berlaku adil. Firman Allah dalam surah An Nisa ayat 3 yang bermaksud,
““Dan jika kamu takut tidak akan dapat berlaku adil terhadap (hak-hak) perempuan yatim (bila mana kamu mengahwininya), maka kahwinilah wanita-wanita (lain) yang kamu senangi: dua, tiga, atau empat. Kemudian jika kamu takut tidak akan dapat berlaku adil, maka (kahwinilah) seorang saja,atau hamba sahaya yang kamu miliki. Yang demikian itu adalah lebih dekat kepada tidak berbuat aniaya.”
Berdasarkan ayat tersebut, syarat utama untuk membolehkan seseorang lelaki berpoligami adalah “mampu berlaku adil”. Jika seorang lelaki itu khuatir tidak dapat berlaku adil terhadap isteri-isterinya maka cukuplah sekadar seorang isteri sahaja.
Pengertian tersebut secara tidak langsung memberi erti bahawa hak untuk berpoligami tersebut terserah kepada suami dan menjadi hak mutlaknya. Ia juga memberi erti bahawa syarat ‘mampu adil” perlu diperhalusi dan dinilai oleh suami itu sendiri. Individu itu sendiri yang akan menentukan kemampuannya untuk berpoligami tanpa perlu melihat keadaan dan keizinan isteri atau isteri-isteri yang sedia ada.
Dari sudut Undang-Undang Keluarga Islam Malaysia, walaupun hak untuk berpoligami ini pada asasnya menjadi hak lelaki atau suami, syarat-syarat ini diperhalusi bagi menjamin hak dan tuntutan syarak itu dapat dilaksanakan sebaiknya. Undang-undang mengariskan beberapa syarat yang perlu dipatuhi sebelum seseorang suami itu dibenarkan untuk berpoligami. Antara syarat-syarat tersebut, seorang lelaki itu perlu membuktikan kepada Mahkamah bahawa:
perkahwinan yang dicadangkan itu adalah wajar dibenarkan dengan melihat kepada hal-hal keadaan yang berikut iaitu kemandulan, keuzuran jasmani, tidak layak dari segi jasmani untuk persetubuhan, sengaja ingkar mematuhi perintah untuk pemulihan hak-hak persetubuhan atau gila di pihak isteri atau isteri-isteri yang sedia ada;
suami itu juga mempunyai kemampuan yang membolehkan dia menanggung semua isteri dan orang tanggungannya termasuk orang yang akan menjadi orang-orang tanggungannya dengan perkahwinan poligami tersebut;
suami itu juga berupaya memberi layanan adil kepada semua isterinya mengikut kehendak Hukum Syarak dan perkahwinan poligami tersebut tidak akan menyebabkan darar syari’e kepada isteri atau isteri-isterinya.
Apakah kuasa isteri atau pihak lain dalam menghalang suami untuk berpoligami?
Poligami merupakan suatu yang harus jika suami mampu berlaku adil. Bagaimanapun ia boleh menjadi haram jika seorang suami itu tahu beliau tidak akan mampu berlaku adil kepada isteri-isterinya namun tetap berpoligami.
Secara asasnya, hak berpoligami itu menjadi hak mutlak seorang suami. Berdasarkan faktor tersebut, jelas keizinan isteri bukanlah syarat dalam membolehkan seorang lelaki berpoligami. Bagaimanapun ianya dibataskan oleh undang-undang demi menjaga kemaslahatan dan kesucian perkahwinan itu sendiri. Ia juga demi untuk mengelak berlakunya penganiayaan terhadap isteri-isteri tersebut. ‘Mampu berlaku adil’ itu perlu menepati kehendak hukum syarak. Keadilan yang dianjurkan syarak itu meliputi keadilan dari segi pemberian nafkah, tempat tinggal, giliran, tempat tidur, pergaulan yang baik serta melaksanakan kewajipan suami terhadap isteri-isterinya.
Oleh sebab itu undang-undang menggariskan satu penilaian dan siasatan oleh Mahkamah sebelum membenarkan seseorang suami itu berpoligami. Mahkamah yang akan menilai kemampuan tersebut secara zahir untuk menentukan kemampuan yang diunjurkan syarak tersebut. Jika mahkamah berpuashati lelaki tersebut mampu berlaku adil dalam berpoligami maka kebenaran tersebut akan diperolehi walaupun isteri sedia ada tidak bersetuju atau tidak izin akan perkahwinan tersebut.
Dalam soal berpoligami, ada pihak yang memberi pandangan bahawa mengikut sunah Nabi, beliau mengahwini janda untuk mengangkat martabat mereka. Berbeza pula hari ini, ramai memilih anak dara sebagai isteri ke2 dan 3, ini secara tidak langsung memberi pandangan negatif dari banyak pihak menentang NGO, bolekah encik beri pandangan mengenai isu ini?
Tujuan sebenar Islam membenarkan poligami adalah demi memeliharakebahagiaan dan melindungi kesucian hubungan antara lelaki dan perempuan daripada keadaan yang boleh memberi malu kepada nama baik keturunan atau keluarga itu sendiri.
Poligami memberi ruang bagi golongan janda yang kematian suami, golongan anak yatim yang tidak mendapat kasih sayang atau mana-mana golongan yang susah untuk sama-sama mendapat belaian kasih sayang dan perhatian dari seorang suami. Rasulullah juga mengahwini golongan ini dengan niat untuk memberi bantuan kepada mereka ini. Namun begitu, tidak dinafikan bahawa situasi ini jarang berlaku malah anak dara yang menjadi pilihan golongan suami.
Pada asasnya, poligami ini dibenarkan tidak kira sama ada isteri kedua, ketiga atau keempat itu merupakan dari golongan anak dara, janda, anak yatim atau dari golongan anak tidak sah taraf sekalipun. Ia juga merupakan satu hikmah untuk menjaga kesucian wanita selain memberi ruang kepada wanita menjaga kesucian wanita itu sendiri. Ia juga mengelakkan kaum wanita dari diperlakukan sewenangnnya oleh golongan yang tidak bertanggungjawab tanpa ikatan yang sah.
Dalam hal ini, isu berkaitan mengikut sunnah itu sering di salah erti dan disalah guna oleh sebahagian suami. Konsep ini telah dijadikan alasan oleh sebahagian suami untuk meraih simpati isteri bagi mengelakkan rasa marah, sakit hati atau dendam terhadap tindakan suami yang telah berpoligami. Ia juga dijadikan alasan oleh suami untuk meraih simpati supaya isteri memberi ‘lampu hijau’ terhadap cadangan untuk berpoligami tersebut. Walaupun timbul tentangan dan pandangan negatif daripada banyak pihak, ia tetap dibenarkan menurut Islam. Sikap segelintir suami dalam melayani isteri sebenarnya menjadi punca ujudnya pandangan negatif terhadap situasi tersebut.
Apa pula isu dan masalah sering berbangkit dalam berpoligami?
Dalam konteks poligami, masalah yang sering timbul adalah keinginan lelaki itu melampaui kemampuannya untuk berpoligami. Apabila seoarang lelaki itu tahu bahawa ia tidak mampu berlaku adil, maka secara jelas ia telah melampaui kemampuanya jika terus berpoligami dan ini yang sering menjadi isu dan masalah dalam kehidupan berpoligami. Pengabaian terhadap hak-hak isteri yang wajib ditunaikan oleh suami tidak dapat dilaksanakan dan akhirmya menimbulkan kesan ke atas isteri. Isteri akan terabai dan merasai kesan buruk akibat poligami. Inilah sebenarnya yang tidak digalakkan oleh syarak. Inilah juga yang dikatakan dharar sebagaimana syarat yang diperhalusi oleh undang-undang.
Kegagalan untuk melaksanakan keadilan inilah yang menyebabkan poligami dipandang buruk dalam mayarakat. Pengabaian suami terutama terhadap nafkah isteri, pergaulan dengan isteri dan hak giliran merupakan isu yang sering berbangkit dalam masyarakat kita hari ini. Pengabaian tanggungjawab ini memnberi kesan secara langsung terhadap hati isteri yang sudah tentu akan merasai perbezaannya sebelum tindakan suami berpoligami. Suami tidak dapat menyempurnakan hak asas isteri yang menyebabkan pecah belah yang lebih besar dalam perkahwinan.
Jika berlaku penceraian, bagaimana pula dengan hak wanita dan keluarganya?
Jika berlaku perceraian, hak wanita atau isteri-isteri tidak kira yang pertama, kedua, ketiga atau keempat dengan keluarganya terjamin berdasarkan peruntukan yang digariskan undang-undang dan hukum syarak. Wanita-wanita yang diceraikan tersebut berhak untuk menuntut haknya seperti hak nafkah eddah, mutaah, harta sepencarian, faraid dan hak yang lain jika ia menepati kehendak hukum syarak dan undang-undang. Selain itu, anak-anak yang lahir dari perkahwinan tersebut juga berhak terhadap hak-hak tersebut dan boleh dituntut jika ianya tidak ditunaikan.
Bagaimanapun, berdasarkan prinsip perudangan, hak-hak ini akan menjadi rumit untuk dituntut jika pernikahan secara poligami tersebut tidak didaftarkan mengikut lunas undang-undang. Ia menjadi suatu kesukaran sekiranya pernikahan dibuat secara rahsia tanpa mengikut prosedur perundangan. Hak-hak ini mungkin tidak akan terbela atau tidak akan didapati jika perceraian berlaku.
Andai berlakunya perkahwinan di sempadan, bagaimana pula dengan hak isteri yang dikahwinan tanpa persetujuan ditetapkan? Apakah tindakan sewajarnya?
Jika berlaku pernikahan di sempadan atau di luar negara tanpa melalui prosedur yang diperuntukkan undang-undang, isteri tersebut masih lagi mempunyai hak untuk menuntut haknya di mahkamah. Isteri sebegini perlu membuat permohonan secara sah di mahkamah untuk menuntut segala hak yang wajar ke atasnya dengan syarat pernikahan tersebut hendaklah didaftarkan terlebih dahulu.
Perbezaan timbul kerana jika poligami dibuat melalui kebenaran mahkamah atau prosedur undang-undang, sudah pasti hak-hak isteri tersebut akan ditentukan sebelum kebenaran untuk berkahwin diberikan oleh mahkamah. Bagaimanapun jika ianya berlaku di sempadan atau tanpa kebenaran Mahkamah, sudah tentu hak itu tidak dapat ditentukan pada masa tersebut. Bagaimanapun hak ini boleh dituntut walaupun perkahwinan telah berlaku dan hak tersebut tidak akan terpadam. Para isteri boleh memfailkan permohonan secara berasingan untuk menuntut haknya di mahkamah.
disediakan oleh:
Roshdan Sujak Rafie
5.6.2013
Commentaires