top of page
Search
Writer's pictureRoshdan Rafie

Hak Jagaan Anak / Hadanah

Updated: Sep 27, 2019





Maksud dan Pengertian


Hak penjagaan anak atau hadhanah ialah hak yang diberikan dalam mendidik dan menjaga seseorang yang tidak boleh melindungi dirinya sendiri daripada perkara-perkara yang tidak baik ke atasnya. Ini kerana mereka atau golongan kanak-kanak ini tidak dapat membezakan atau menilai baik dan buruk sesuatu perkara. Termasuk darinya ialah penjagaan dari segi makan minum, pakaian, kesihatan, pendidikan dan perkara-perkara lain yang tidak dapat dibuat oleh kanak-kanak itu sendiri.


Siapakah Yang Berhak


Berdasarkan prinsip Hukum Syarak dan Undang-undang Keluarga Islam di Malaysia, ibu adalah orang yang paling layak dan berhak terhadap hak jagaan anak tersebut samada semasa ikatan perkahwinan masih ada ataupun selepas berlakunya perceraian antara keduanya.


Terdapat sebuah hadis Rasulullah SAW yang diterima pakai oleh para ulama dalam kaedah tersebut:


“ Seorang perempuan telah diceraikan oleh suaminya dan datang berjumpa Rasulullah dan berkata: Wahai Rasulullah, rahimku inilah yang mengandungkan anakku ini, susukulah yang dihisapnya dan pangkuan akulah yang melindunginya, malangnya ayahnya mahu merampasnya dariku. Rasulullah berkata: Engkau lebih berhak keatasnya selagi engkau belum berkahwin”


Islam memberikan keutamaan kepada kaum wanita / ibu kerana mereka lebih berkelayakan dan sesuai dengan tugas ini kerana sifat-sifat semulajadi yang ada dalam diri mereka di mana golongan wanita dijadikan dengan ciri-ciri yang lebih bersimpati, lebih sifat belas kasihan, sabar dengan karenah kaum kanak-kanak dan juga lebih bersikap lembut dalam mendampingi kanak-kanak.


Susunan Keutamaan Orang Yang Berhak Menjaga Kanak-kanak


Ibu adalah orang yang paling layak terhadap hak hadhanah kanak-kanak. Bagaimanapun sekiranya ibu tersebut didapati hilang kelayakan atau tidak mampu menjaga kanak-kanak sebagaimana yang digariskan oleh Syarak, maka hak hadhanah tersebut akan berpindah mengikut keutamaan yang ditetapkan sebagaimana berikut;


Seksyen 82(2) Enakmen Undang-undang Keluarga Islam Selangor 2003 memperuntukkan bahawa:


Jika Mahkamah berpendapat bahawa ibu adalah hilang kelayakan dibawah Hukum Syarak` dari mempunyai hak terhadap hadanah atau penjagaan anaknya, maka hak itu tertakluk kepada sub-seksyen (3), hendaklah berpindah kepada salah seorang yang berikut mengikut susunan keutamaan yang berikut:-


nenek sebelah ibu hingga ke atasbapanenek sebelah bapa hingga ke ataskakak atau adik perempuan seibu sebapakakak atau adik perempuan seibukakak atau adik perempuan sebapaanak perempuan dari kakak atau adik perempuan seibu sebapaanak perempuan dari kakak atau adik perempuan seibuanak perempuan dari kakak atau adik perempuan sebapaemak saudara sebelah ibuemak saudara sebelah bapawaris lelaki yang boleh menjadi warisnya sebagai asabah atau residuari

dengan syarat penjagaan orang yang demikian tidak menjejaskan kebajikan kanak-kanak itu.


Syarat-syarat Kelayakan Penjaga


Undang-undang Keluarga Islam yang berdasarkan prinsip Hukum Syarak juga memperuntukkan bahawa seseorang yang mempunyai hak mendidik kanak-kanak adalah berhak terhadap hadhanah jika:


  • dia adalah seorang Islam

  • dia adalah sempurna akal

  • dia berumur yang melayakkan

  • dia memberi kepada kanak-kanak itu jagaan dan kasih sayang yang mungkin diperlukan oleh kanak-kanak itu

  • dia berkelakuan baik dari segi akhlak Islamiah

  • dia tinggal ditempat dimana kanak-kanak itu tidak mungkin menghadapi apa-apa akibat buruk dari segi akhlak atau jasmani.


Hilangnya Hak Penjagaan


Kaum bapa atau pihak lain yang bertikai masih lagi boleh mempertikaikan hak jagaan kanak-kanak yang berada di bawah umur mumaiyiz sekiranya pihak tersebut berjaya membuktikan bahawa si ibu telah hilang hak kelayakannya dalam menjaga anak-anak tersebut. Isu-isu yang boleh dipertikaikan tersebut termasuklah dari segi keadaan semasa, akhlak, keperibadian, sifat atau sebagainya. Sebagai contoh, ibu itu seorang yang berkelakuan atau berakhlak buruk secara terbuka, menganiayai atau mendera kanak-kanak tersebut atau telah berkahwin lain. Keutamaan dan kelayakan ibu telah hilang dengan sifat-sifat yang dinyatakan diatas.


Sekiranya pihak bapa berjaya membuktikan kemampuannya adalah lebih baik daripada pihak ibu, hak jagaan anak tersebut boleh diberikan kepadanya. Dan ini akan ditentukan berdasarkan beberapa perkara yang menjadi pokok penilaian Mahkamah. Seksyen 84


Enakmen Undang-undang Keluarga Islam Selangor 2003 memperuntukkan bahawa:


Hak seseorang perempuan terhadap hadhanah adalah hilang jika:

  • a) perempuan itu berkahwin dengan seseorang yang tidak mempunyai pertalian dengan kanak-kanak itu yang orang itu dilarang berkahwin dengan kanak-kanak itu, jika penjagaannya dalam hal sedemikian akan menjejaskan kebajikan kanak-kanak itu tertapi haknya untuk penjagaan akan kembali semula jika perkahwinan itu dibubarkan.

  • b) Perempuan itu berkelakuan buruk secara keterlaluan dan terbuka

  • c) Perempuan itu menukar permastautinnanya dengan tujuan untuk mencegah bapa kanak-kanak itu dari menjalankan pengawasan yang perlu ke atas kanak-kanak itu kecuali bahawa seseorang isteri yang bercerai boleh mengambil anaknya sendiri ke tempat lahir isteri.

  • d) Perempuan itu murtad

  • e) Perempuan itu mencuaikan atau menganiayai kanak-kanak itu.


Tamat Tempoh Penjagaan


Hak atau kelayakan yang dimaksudkan diatas adalah bagi kanak-kanak yang belum mencapai umur mumaiyiz, iaitu suatu tahap di mana telah membolehkan kanak-kanak tersebut menilai baik dan buruk sesuatu perkara. Biasanya, dalam konteks keadaan masyarakat kita, kanak-kanak boleh dikatakan mencapai umur mumaiyiz apabila mencapai umur 7 hingga 9 tahun.


Mengikut konteks undang-undang dan realiti masyarakat kita, hak hadhanah tersebut akan tamat setelah kanak-kanak tersebut mencapai umur 7 tahun bagi lelaki, dan 9 tahun jika kanak-kanak itu perempuan. Apabila kanak-kanak tersebut telah mencapai umur tersebut, hak hadanah tersebut akan berpindah kepada bapa. Mahkamah juga berhak memberi pilihan kepada kanak-kanak itu sendiri untuk membuat pilihannya sendiri.


Dalam peringkat ini, kaum lelaki atau bapa biasanya lebih sesuai dan menjadi keutamaan dalam menjaga anak tersebut disebabkan kaum lelaki itu mampu mengawasi, menjaga dan mendidik kanak-kanak. Dalam peringkat ini, ianya lebih memerlukan kepada ketegasan, kebijaksanaan serta ketegasan dalam menangani karenah anak-anak yang semakin membesar. 


Ulasan dan Kesimpulan


Dalam menentukan hak jagaan terhadap anak-anak, perkara utama yang akan dilihat ialah kebajikan dan kemaslahatan anak tersebut. Di samping itu, faktor kelayakan pihak-pihak yang ingin menjaga anak tersebut juga akan diambil kira.


Apa yang dimaksudkan dengan kebajikan kanak-kanak tersebut ialah kesan yang timbul sekiranya kanak-kanak tersebut diletakkan di bawah jagaan mana-mana pihak. Kesan yang dimaksudkan pula menjurus kepada keadaan anak tersebut dari segi pengawasan, makan minum, kesihatan, keselamatan dan perkara-perkara utama yang menjadi kepentingan anak-anak tersebut.


Kelayakan pihak-pihak juga menjadi faktor utama dalam menentukan hak jagaan tersebut. Kelayakan yang dimaksudkan di sini ialah kemampuan pihak-pihak yang bertikai mengenai hak jagaan anak-anak tersebut, dan ianya merangkumi perkara-perkara yang telah dijelaskan di atas.


Hak jagaan terhadap anak-anak boleh berubah sekiranya anak-anak tersebut telah mencapai umur tertentu, walaupun pada asalnya Mahkamah telah menentukan hak jagaan anak-anak tersebut. Mahkamah boleh menentukan atau mengubah hak jagaan anak-anak yang telah diberikan terdahulu berdasarkan keadaan semasa anak-anak ataupun penjaga dan kepentingan anak-anak pada waktu tersebut. Mahkamah juga boleh menentukan hak jagaan kanak-kanak itu berdasarkan kemahuan anak tersebut sendiri.


Apa-apa keputusan yang diberikan oleh Mahkamah sekalipun, pihak yang tidak mendapat hak jagaan anak tersebut tidak akan dinafikan hak untuk melawat anak yang berada dibawah jagaan pihak yang satu lagi. Kecuali sekiranya terdapat alasan dan bukti yang kukuh dari sudut Hukum Syarak dan keadaan keselamatan anak itu sendiri dari membenarkan pihak yang satu lagi mendapatkan hak lawatan, sebagai contoh dalam kes penderaan misalnya.


Hak jagaan terhadap kanak-kanak itu tidak secara sendirinya akan jatuh ketangan ibu tanpa keputusan yang dibuat oleh Mahkamah. Apa yang dinyatakan di atas hanyalah keutamaan dalam menentukan hak jagaan anak-anak tersebut dan ia bukanlah sesuatu yang mutlak.


Berdasarkan kenyataan di atas, jelas kepada kita bahawa Islam menitikberatkan kepada tanggungjawab kedua-dua pihak iaitu ibu dan bapa atau orang yang bertanggungan dalam menjaga anak-anak tersebut kerana pertikaian mengenainya hanyalah mendatangkan kemudaratan kepada kanak-kanak itu sendiri. Masing-masing pihak baik kaum lelaki mahupun wanita mempunyai hak dan sifat masing-masing yang perlu bagi setiap kanak-kanak dalam masa penjagaan tersebut. Anak-anak ini wajib dijaga supaya ianya tidak membesar tanpa pengawasan yang boleh mendatangkan kerosakan kepada peribadi dan akhlak mereka di masa hadapan.


Kesimpulannya, pihak-pihak mempunyai tanggungjawab dan kelebihan masing-masing dalam menjaga dan mendidik anak-anak tersebut, tak kira semasa perkahwinan mahupun selepas ikatan terputus. Adalah dinasihatkan supaya pihak-pihak tidak mengutamakan kepentingan peribadi dalam menentukan hak jagaan anak-anak tersebut sebaliknya memberi keutamaan kepada kemaslahatan dan kepentingan anak tersebut sendiri, yang mana amat penting dalam pembesaran dan hala tuju mereka di masa hadapan.


KEWAJIPAN MENANGGUNG NAFKAH ANAK


Siapa Yang Bertanggungan


Ramai di kalangan masyarakat kita sebenarnya tidak faham mengenai konsep pemberian nafkah anak-anak yang mana rata-ratanya menganggap bahawa ianya merupakan kewajipan penjaga tidak kira penjaga itu bapa atau ibu.


Dalam konteks sebenarnya, berdasarkan firman Allah yang bermaksud:


“ dan kewajipan bapa pula ialah memberi makan dan pakaian kepada

 ibu itu menurut cara yang sepatutnya…”

                                                                                    (Surah Al-Baqarah 2:233)


Juga berdasarkan sabda Rasulullah S.A.W. yang bermaksud:


“Ambillah sekadar yang mencukupi untukmu dan anakmu

dengan cara yang makruf.”


Berdasarkan ayat diatas, apa yang dapat difahami membawa maksud bapa berkewajipan dalam mengadakan nafkah anak-anaknya dengan sebab kelahiran sebagaimana wajib keatasnya membiayai isteri dengan sebab anak pula. Ia disokong dengan hadis Rasulullah S.A.W. tersebut yang menyarankan bahawa bapa adalah orang yang dipertanggungjawabkan dalam menyara nafkah isteri dan anak-anaknya.


Dalam konteks perundangan keluarga Islam di negara kita juga, kewajipan nmengadakan nafkah anak-anak ini diletakkan di atas tanggungjawab bapa. Seksyen 73 Enakmen Undang-undang Keluarga Islam Selangor 2003 memperuntukkan bahawa kewajipan menangung nafkah anak adalah bagi lelaki. “ Kecuali jika sesuatu perjanjian atau sesuatu perintah Mahkamah memperuntukkan selainnya, maka adalah menjadi kewajipan seseorang lelaki menanggung nafkah anaknya, sama ada anak itu berada dalam jagaannya atau dalam jagaan seseorang lain, sama ada dengan mengadakan bagi mereka tempat tinggal, pakaian, makanan, perubatan dan pelajaran sebagaimana yang munasabah memandang kepada kemampuan dan taraf kehidupannya atau dengan membayar kosnya”

Seksyen lain pula sebahagiannya menyebut “… perintah nafkah hendaklah tamat apabila anak itu mencapai umur lapan belas tahun, tetapi Mahkamah boleh, atas permohonan oleh anak itu atau oleh seseorang yang lain, melanjutkan perintah nafkah itu supaya meliputi apa-apa tempoh tambahan yang difikirkannya munasabah bagi membolehkan anak itu mengikuti pelajaran atau latihan lanjut atau lebih tinggi.”


Berdasarkan penghuraian di atas dan amalan perundangan di Malaysia, bapa wajib mengadakan nafkah bagi anak-anak tidak kira samada hak jagaan anak-anak diberikan kepada dirinya sendiri ataupun berada di pihak ibu. Dan hak mengadakan nafkah anak-anak hanya akan terhenti bila anak tersebut telah mencapai umur 18 tahun, kecuali ada perintah lain dibuat berkenaan dengannya atau pembatalan dilakukan terhadap perintah tersebut.


Walaubagaimanapun, mana-mana pihak yang menjaga kanak-kanak tersebut berhak untuk memohon tempoh lanjutan untuk saraan nafkah anak-anak tersebut sekiranya kanak-kanak itu masih memerlukan wang saraan dalam masa penjagaannya, terutama kanak-kanak yang masih belajar, cacat dan sebagainya.


Kadar Nafkah


Behubung dengan setakat mana kadar nafkah anak-anak pula, ianya akan dinilai berdasarkan keperluan anak-anak itu sendiri, baik dari segi makan minum, pakaian, pendidikan, pengawasan dan sebagainya. Bagaimanapun, Mahkamah dalam menentukan kadar tersebut mengambil kira kemampuan bapa kanak-kanak tersebut untuk mengadakan nafkah yang sesuai bagi kanak-kanak tersebut mengikut kemampuannya.


Ini penting memandangkan bapa adalah orang yang akan mengeluarkan perbelanjaan, dan sudah tentunya kemampuan dan tanggungan bapa akan dinilai sebelum sesuatu keputusan dibuat.


Berdasarkan penerangan dan penjelasan di atas, dapatlah diambil kesimpulan bahawa hak jagaan anak akan ditentukan berdasarkan kepada kebajikan dan kemaslahatan anak, disamping kelayakan pihak-pihak yang memohon hak tersebut. Manakala kewajipan nafkah pula disandarkan kepada kaum bapa, dan ditentukan berdasarkan keperluan anak dan kemampuan pihak yang menanggung kewajipan tersebut.



180 views0 comments

Recent Posts

See All

POLIGAMI

Comments


bottom of page